PROFIL SEKOLAH


Kelahiran SK KIDURONG, atas desakan ledakan penduduk yang menghuni Bandar Bintulu kerana sekolah yang sedia ada tidak mampu menampung limpahan kanak–kanak yang sama–sama berhijrah dengan ibu bapa mereka yang ingin merebut peluang pekerjaan di Bintulu.  Menyedari hakikat ini, dua buah syarikat gergasi yang bertanggungjawab menukar corak Bintulu, yakni PETRONAS CARIGALI SDN. BHD. & MLNG SDN. BHD telah menyumbang kepada pembinaan sebuah sekolah yang amat diperlukan di kawasan perindustrian Tanjung Kidurong.

Setelah siap dibina dan sedia untuk digunakan, sekolah tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan khususnya kepada Jabatan Pendidikan Sarawak pada 21 Oktober 1985.  Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu ialah YB Tuan Haji Bujang Bin Haji Ulis telah mewakili kerajaan semasa penyerahan dibuat dan secara rasminya sekolah tersebut dinamakan SEKOLAH RENDAH KERAJAAN KIDURONG, sempena nama kawasan ia dibinakan.

Pada bulan Januari 1986, sekolah ini memulakan operasinya dengan ambilan pertamanya lebih kurang 500 orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6.  Kini, setelah 20 tahun penubuhannya penambahan murid hampir mencecah 300% iaitu 1461 orang berdasarkan enrolmen pada 30 Jun 2010. 

Sejak penubuhan SK KIDURONG, sekolah ini telah diterajui oleh beberapa orang Guru Besar yang berwibawa iaitu Cik Ramlah Binti Saberi (Januari 1986 hingga Disember 1988), Tn. Hj. Sahari Bin Sebi (Disember 1988 hingga 22 Jun 1992), En. Hashim Bin Busrah (22 Jun 1992 hingga 24 November 1992), En. Noromi Bin Hassim (25 November 1992 hingga 30 Nomber 2002) dan kini Pn. Caroline Jelenie anak Chuat.

Sememangnya kewibawaan Guru Besar yang menerajui SK KIDURONG dan komitmen daripada guru–gurunya serta kerjasama yang erat dari Persatuan Ibu Bapa Dan Guru–Guru amat memainkan peranan penting dalam meraih kecemerlangan sekolah ini.  Sebagai bukti prestasi sekolah dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2004 sebanyak 57.8%  dengan pencapaian 5A terdiri dari 2 orang pelajar telah meningkat kepada 68.4% dengan pencapaian 5A terdiri dari 28 orang pelajar.  Peningkatan ini, disebabkan pelbagai program peningkatan ilmu yang menjurus kepada akademik telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

Disamping itu juga SK Kidurong telah dianugerahkan Sijil Usaha Gigih pada tahun 2004 kerana menunjukkan peningkatan dalam peratusan murid yang mencapai penguasaan minimum  Gred ’C’ dalam semua kertas ujian dalam UPSR 2003.  Pada tahun 2010 pula sekolah telah dianugerahkan Sijil Usaha Gigih bagi peningkatan prestasi kecemerlangan akademik kerana mencapai gred A dalam mata pelajaran teras mengatasi peratusan pencapaian peringkat bahagian Bintulu bagi tahun 2009 dan Anugerah Kualiti PPD 2009 kategori pengurusan bilik darjah.

Manakala pada tahun 2005 dan 2007,  Jabatan Pelajaran Sarawak telah menganugerahkan Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Sarawak kepada SK Kidurong di tempat ketiga bagi kategori Sekolah Rendah Bandar. Pada tahun 2006 pula, SK Kidurong telah dicalonkan dalam pertandingan Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak 2005, pertandingan Pusat Sumber Peringkat Kebangsaan dan pertandingan 3K (Keceriaan, Kesihatan, Kebersihan) peringkat Bahagian Bintulu.



























EPL 2013/2014 SEASON TABLE

ADVERTISEMENT